Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Pejabat Daerah dan Tanah, Seberang Perai Utara adalah agensi yang mengurus dan mentadbir pengurusan tanah di Daerah Seberang Perai Utara.
Antara bidang tugas Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara adalah memproses semua jenis permohonan tanah, mendaftar tanah-tanah milik yang diluluskan, menyimpan dokumen hakmilik, menerima dan memproses semua urusniaga yang berkaitan tanah.
Selain dari itu, Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara turut menyelaras program bantuan-bantuan Kerajaan Negeri seperti Wang Ehsan Warga Emas, bantuan membina rumah orang miskin, pembaikan gerai dan dewan.
Adalah diharap melalui Laman Web Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara ini dapat memberi maklumat asas mengenai fungsi-fungsi pejabat. Saya mengalu-alukan sebarang bentuk cadangan, idea, teguran dari orang ramai untuk meningkatkan lagi Perkhidmatan Awam.
" KE ARAH DAERAH YANG MAJU, MENARIK DAN HARMONI "
[ HAJJAH SAODAH BINTI NAWAWI] Pegawai Daerah, Seberang Perai Utara.

Wednesday, 27 February 2013

Sejarah


      Cetusan idea penubuhan PUSPANITA telah diilhamkan oleh Tun Dr. Mahathir bin Mohamad yang ketika itu menjawat Menteri Pelajaran selepas bercuti di Indonesia. Sepanjang percutian tersebut, mereka telah disambut oleh Dharma Wanita Persatuan. Oleh kerana upacara sambutan yang begitu baik serta layanan yang mesra kaum wanita di sana, Tun Mahathir kemudiannya menyarankan kepada Tun Dr. Siti Hasmah untuk mewujudkan satu persatuan sedemikian di Malaysia khas untuk kaum wanita.

       Dengan bantuan Dato' Dr. Noor Laily Dato' Haji Abu Bakar yang ketika itu merupakan Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Tun Dr. Siti Hasmah telah merealisasikan penubuhan PUSPANITA.


        
        PUSPANITA atau nama singkatannya Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia telah dilancarkan dengan rasminya pada 1 Mac 1983 oleh Penaung PUSPANITA yang pertama, Tun Dr. Siti Hasmah Binti Haji Mohd Ali.

        Di peringkat awal penubuhannya, PUSPANITA melalui pelbagai proses bagi melengkapkannya sebagai sebuah persatuan yang berdaftar dan diterima oleh semua pihak terutamanya di peringkat pengurusan atasan dan ahli-ahli. Ahli-ahli Jawatankuasa protem ketika itu telah berusaha keras membentuk perlembagaan yang mengandungi butir-butir mengenai pertubuhan tersebut seperti visi, misi, tujuan penubuhan, keanggotaan serta tanggung-jawab Majlis Tertinggi (MT) dan Jawatankuasa Kerja Tertinggi (JKT).

        Bagi mengukuhkan kedudukan pertubuhan, Perlembagaan PUSPANITA telah menetapkan bahawa Isteri Perdana Menteri akan menjadi Penaung, Ketua Setiausaha Negara akan menjadi Penasihat dan dan isteri Ketua Setiausaha Negara adalah Yang Di Pertua kepada persatuan ini.
Di samping pembentukan perlembagaan, PUSPANITA telah berjaya menambahkan keahlian dari tahun ke tahun dan kini mempunyai lebih daripada 80,000 ahli. Satu lagi kejayaan yang amat dibanggakan adalah Rumah PUSPANITA di Jalan Hose, Kuala Lumpur dan PUSPANITAPURI sebagai pusat aktiviti dan mercu tanda kegemilangan. PUSPANITA juga mempunyai pakaian seragamnya yang tersendiri sebagai lambang penyatuan ahli-ahli.

        Pelbagai program dan aktiviti telah disusun dan dilaksanakan oleh PUSPANITA untuk mencapai visi dan misinya. Antaranya adalah Rancangan Lima Tahun PUSPANITA, Tabung PUSPADARA PUSPANITA dan Tabung Latihan PUSPANITA. Kejayaan PUSPANITA adalah hasil kebijaksanaan kepimpinan penaung dan penasihatnya. Ini diikuti dengan kerjasama dan sokongan padu Majlis Tertinggi (MT), Jawatankuasa Kerja Tertinggi (JKT) serta warga PUSPANITA. 

Tuesday, 26 February 2013

Lagu PUSPANITA



Lagu Puspanita

Bulan bintang 14 penjuru
Lambang keutuhan bersatu padu
Isteri pegawai kakitangan semua
Berganding bahu saling membantu
Sudah resmi pembangunan
Isteri bersama memberi kebajikan
Disamping itu bertukar pandangan
Menambah ilmu serta pengetahuan
Bunga padi tanda keteguhan
Bergaul mesra tak kira keturunan
Beramah tamah tak kira pangkat
Tujuan asas capai matlamat
PUSPANITA mengorak langkah
Peranan suri pendidik diasah
Sifat kewanitaan meninggikan maruah
Peri kemanusiaan menjadi falsafah

Chorus :-

PUSPANITA, PUSPANITA, PUSPANITA
Tenaga isteri dan wanita
PUSPANITA, PUSPANITA, PUSPANITA
Tenaga isteri dan wanita

Dasar



  • Meningkatkan keutuhan dan daya saing wanita untuk pembangunan negara di era K-ekonomi dan globalisasi;
  • Membantu meningkatkan prestasi dan imej perkhidmatan awam ke arah menyokong pelaksanaan dasar-dasar kerajaan;
  • Memupuk dan memantapkan nilai positif di kalangan wanita ke arah pembangunan dan kecemerlangan sahsiah dan kecemerlangan diri;
  • Mewujudkan silaturahim antara wanita-wanita di peringkat kebangsaan dan antarabangsa; dan
  • Membantu memupuk hubungan kekeluargaan yang harmoni ke arah membanteras gejala soar dalam Puspanita  

Objektif

Antara objektif utama penubuhan PUSPANITA adalah :

  • Adalah untuk merapatkan perhubungan muhibah dan menyatu-padukan isteri-isteri dan anggota-anggota wanita Perkhidmatan Awam di semua peringkat perkhidmatan.
  • Adalah untuk menggalakkan perkembangan pengetahuan kemahiran serta kemajuan diri ahli-ahli Persatuan menerusi program-program kemajuan, ceramah-ceramah, bengkel-bengkel, seminar dan kursus.
  • Adalah untuk menggalakkan dan melibatkan ahli-ahli dalam aktiviti-aktiviti bagi faedah ahli dan keluarga mereka serta masyarakat.
  • Adalah untuk menganjurkan program-program untuk memungut derma dan sumbangan bagi aktiviti-aktiviti amal kebajikan.
  • Adalah untuk mengadakan program-program untuk mengeratkan perhubungan dengan lain-lain pertubuhan wanita yang berdaftar, demi memupuk semangat persefahaman dan menambah pengetahuan melalui rancangan-rancangan pembangunan negara khususnya yang berkaitan dengan kaum wanita di negara ini.
  • Adalah boleh memiliki tanah, bangunan-bangunan dan aset-aset yang lain sebagaimana yang diperlukan melalui cara memohon kepada kerajaan, membeli, menyewa dan sebagainya. Mana-mana cawangan juga boleh memiliki tanah, bangunan dan aset-aset atau sebagainya untuk kebajikan dan faedah ahli.
  • Adalah untuk menyertai aktiviti perniagaan dengan syarat semua wang dan keuntungan yang didapati oleh persatuan ini, hasil dari penyertaannya dalam mana-mana perniagaan, akan digunakan semata-mata untuk melanjutkan, memajukan dan menjalankan tujuan-tujuan persatuan ini, dan tidak sebahagian pun daripada wang atau keuntungan atau bonus kepada sebarang ahli persatuan. Sungguh pun begitu, peruntukan ini tidak menghalang sebarang pembayaran yang di buat dengan tujuan baik, untuk membayar gaji atau perbelanjaan atau kedua-duanya kepada sebarang ahli atau pekerja persatuan ini, dengan syarat mereka telah memberikan perkhidmatan kepada persatuan ini. 

Visi dan Misi

VISI

Ke arah PUSPANITA cemerlang


MISI

Untuk menjadi wanita yang berdaya saing, berkualiti, berilmu, berkemahiran, dan berketerampilan dan bertaqwa supaya dapat menyumbang kepada pembangunan diri, keluarga dan masyarakat.


MOTO

Wanita sepakat negara meningkat




Definisi Logo



 
Bulan (Sabit) dan Bintang
Melambangkan negeri-negeri dalam Malaysia di mana ahli-ahli PUSPANITA dapat menyatu padukan negara.

Buku
Melambangkan pengetahuan dan kemahiran yang perlu dipertingkatkan secara berterusan.


Bunga Padi
Melambangkan perpaduan dikalangan ahli-ahli wanita berbilang kaum dalam perkhidmatan.


P dan PA
Melambangkan kewanitaan.

 
Bunga Raya
Melambangkan peranan persatuan ke arah pencapaian aspirasi dan matlamat pembangunan negara.

Warna Ungu
Melambangkan kemuliaan sukarela ahli-ahli

Warna Emas
Melambangkan kepentingan kualiti yang unggul sebagai teras kecermelangan.


TAFSIRAN NAMA PUSPANITA
  • Suri bermakna isteri pegawai dan kakitangan Perkhidmatan Awam di semua peringkat kumpulan perkhidmatan.
  • Anggota Wanita bermakna pegawai-pegawai wanita dan kakitangan wanita Perkhidmatan Awam di semua peringkat kumpulan perkhidmatan.
  • Perkhidmatan Awam bermakna perkhidmatan Kerajaan di semua peringkat termasuk badan-badan berkanun.