Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Pejabat Daerah dan Tanah, Seberang Perai Utara adalah agensi yang mengurus dan mentadbir pengurusan tanah di Daerah Seberang Perai Utara.
Antara bidang tugas Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara adalah memproses semua jenis permohonan tanah, mendaftar tanah-tanah milik yang diluluskan, menyimpan dokumen hakmilik, menerima dan memproses semua urusniaga yang berkaitan tanah.
Selain dari itu, Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara turut menyelaras program bantuan-bantuan Kerajaan Negeri seperti Wang Ehsan Warga Emas, bantuan membina rumah orang miskin, pembaikan gerai dan dewan.
Adalah diharap melalui Laman Web Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara ini dapat memberi maklumat asas mengenai fungsi-fungsi pejabat. Saya mengalu-alukan sebarang bentuk cadangan, idea, teguran dari orang ramai untuk meningkatkan lagi Perkhidmatan Awam.
" KE ARAH DAERAH YANG MAJU, MENARIK DAN HARMONI "
[ HAJJAH SAODAH BINTI NAWAWI] Pegawai Daerah, Seberang Perai Utara.

Wednesday, 27 February 2013

Sejarah


      Cetusan idea penubuhan PUSPANITA telah diilhamkan oleh Tun Dr. Mahathir bin Mohamad yang ketika itu menjawat Menteri Pelajaran selepas bercuti di Indonesia. Sepanjang percutian tersebut, mereka telah disambut oleh Dharma Wanita Persatuan. Oleh kerana upacara sambutan yang begitu baik serta layanan yang mesra kaum wanita di sana, Tun Mahathir kemudiannya menyarankan kepada Tun Dr. Siti Hasmah untuk mewujudkan satu persatuan sedemikian di Malaysia khas untuk kaum wanita.

       Dengan bantuan Dato' Dr. Noor Laily Dato' Haji Abu Bakar yang ketika itu merupakan Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Tun Dr. Siti Hasmah telah merealisasikan penubuhan PUSPANITA.


        
        PUSPANITA atau nama singkatannya Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia telah dilancarkan dengan rasminya pada 1 Mac 1983 oleh Penaung PUSPANITA yang pertama, Tun Dr. Siti Hasmah Binti Haji Mohd Ali.

        Di peringkat awal penubuhannya, PUSPANITA melalui pelbagai proses bagi melengkapkannya sebagai sebuah persatuan yang berdaftar dan diterima oleh semua pihak terutamanya di peringkat pengurusan atasan dan ahli-ahli. Ahli-ahli Jawatankuasa protem ketika itu telah berusaha keras membentuk perlembagaan yang mengandungi butir-butir mengenai pertubuhan tersebut seperti visi, misi, tujuan penubuhan, keanggotaan serta tanggung-jawab Majlis Tertinggi (MT) dan Jawatankuasa Kerja Tertinggi (JKT).

        Bagi mengukuhkan kedudukan pertubuhan, Perlembagaan PUSPANITA telah menetapkan bahawa Isteri Perdana Menteri akan menjadi Penaung, Ketua Setiausaha Negara akan menjadi Penasihat dan dan isteri Ketua Setiausaha Negara adalah Yang Di Pertua kepada persatuan ini.
Di samping pembentukan perlembagaan, PUSPANITA telah berjaya menambahkan keahlian dari tahun ke tahun dan kini mempunyai lebih daripada 80,000 ahli. Satu lagi kejayaan yang amat dibanggakan adalah Rumah PUSPANITA di Jalan Hose, Kuala Lumpur dan PUSPANITAPURI sebagai pusat aktiviti dan mercu tanda kegemilangan. PUSPANITA juga mempunyai pakaian seragamnya yang tersendiri sebagai lambang penyatuan ahli-ahli.

        Pelbagai program dan aktiviti telah disusun dan dilaksanakan oleh PUSPANITA untuk mencapai visi dan misinya. Antaranya adalah Rancangan Lima Tahun PUSPANITA, Tabung PUSPADARA PUSPANITA dan Tabung Latihan PUSPANITA. Kejayaan PUSPANITA adalah hasil kebijaksanaan kepimpinan penaung dan penasihatnya. Ini diikuti dengan kerjasama dan sokongan padu Majlis Tertinggi (MT), Jawatankuasa Kerja Tertinggi (JKT) serta warga PUSPANITA.